California: Identiti sebenar pembunuh bersiri yang mencetuskan pencarian sejak lebih 40 tahun lalu akhirnya terbongkar selepas ujian DNA yang dibuat terhadap seorang bekas anggota polis mengaitkannya dengan kejadian bunuh serta rogol antara tahun 1970 hingga 1980-an.

Daily Mail melaporkan, Joseph James DeAngelo Jr, 72, ditahan Jabatan Syerif Daerah Sacramento Selasa lalu selepas dikenal pasti sebagai pembunuh bersiri yang didakwa terbabit dalam 12 pembunuhan dan sekurang-kurangnya 50 kes rogol di 10 bandar di California.

Syerif Sacramento, Scott Jones berkata, detektif memadankan sampel DNA yang diambil dari rumah DeAngelo dengan bukti daripada siasatan.

“Dia ditahan sebaik keluar dari rumahnya. Kami menempatkan pasukan di kawasan berkenaan supaya dapat menahannya,” katanya.

Bagaimanapun, Jones tidak mendedahkan punca yang menjurus mereka mengambil sampel DNA DeAngelo sebaliknya mengatakan namanya timbul berkaitan jenayah itu minggu lalu.

Walaupun polis menerima banyak maklumat sebelum ini, nama DeAngelo tidak pernah dikaitkan dengan kejadian berkenaan.


Polis kini berusaha untuk mengaitkan lelaki berusia 72 tahun itu dengan jenayah lain yang pakar jenayah berjaya kaitkan melalui modus operandinya.

DeAngelo sebelum ini bekerja sebagai anggota polis di Auburn, California tetapi dipecat pada 1979 kerana mencuri tukul dan menghalau anjing di sebuah kedai runcit.

Penyiasat percaya dia melakukan jenayah itu ketika masih bekerja sebagai polis.

DeAngelo kini ditahan di Penjara Utama Daerah Sacramento dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Sementara itu, jiran DeAngelo mendakwa dia berkelakuan ganjil dan selalu bersendirian selain kadang-kadang memarahi orang yang berada terlalu hampir dengan pagar rumah atau memotong rumput terlalu awal, lapor CNN.

Bagaimanapun, mereka tidak menyangka yang lelaki itu dalang di sebalik pembunuhan dan rogol bersiri yang mencetuskan siasatan selama lebih 40 tahun sehingga penangkapannya baru-baru ini – hmetro