KUALA TERENGGANU: Tindakan kejam seorang penganggur membunuh neneknya menggunakan parang tiga tahun lalu akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman gantung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Maslizan Muhamad, 36, dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Halimah Taib, 78, di depan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh di sini, jam 9.30 pagi pada 7 September 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nordin Kassim & Aziz, Abdul Aziz Hasan.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak membunuh neneknya dengan menetak tengkuk dan leher mangsa menggunakan parang gara-gara tidak tahan mendengar leteran warga emas berkenaan.

Mangsa ditemui dalam keadaan telentang oleh jirannya jam 9.50 pagi sebelum menghubungi Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut.

Suspek turut dilihat meninggalkan lokasi kejadian sambil membawa parang menuju masjid berhampiran yang terletak 200 meter dari lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tetakan iaitu dua di leher kanan dan satu di belakang tengkuk dan suspek ditahan jam 10.30 pagi di depan masjid -berita harian