KUANTAN: Seorang pemburu haram ditahan selepas didapati memiliki dua pelanduk tanpa lesen di Hutan Simpan Jekatih Selancar, Rompin di sini, semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Rompin dalam satu operasi pada jam 4.30 pagi.

Difahamkan, dua pelanduk yang sudah mati ditembak itu berkemungkinan dijual kepada pelanggan sempena Aidilfitri minggu ini.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azahar Mohammed, berkata ketika serbuan itu dua rakan suspek dapat melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Dalam serbuan itu, kita merampas dua pelanduk yang sudah mati, senjata api buatan sendiri serta peluru, seunit Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS), sebilah parang dan lampu suluh.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 60 1 (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

“Suspek ditahan bermula semalam sehingga Rabu ini selepas kita mendapat perintah reman daripada majistret,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, NSTP melaporkan aktiviti memburu haram bagi mendapatkan hidupan liar dijangka meningkat pada musim perayaan Aidilfitri.

Ia berikutan, ada permintaan daripada segelintir pihak yang ghairah menyediakan juadah eksotik atau luar daripada kebiasaan sempena Aidilfitri.

Difahamkan pemburu mampu mengaut keuntungan besar menerusi penjualan daging seperti rusa sambar, kijang, kambing gurun dan pelanduk berikutan permintaan meningkat setiap kali musim perayaan, termasuk Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Ahmad Azhar berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan panas bagi memerangi kegiatan pemburu haram.

“Sudah menjadi trend, kadar pemburuan haram meningkat menjelang perayaan berikutan ada permintaan terhadapnya.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti memburu secara haram, tindakan tegas menanti individu bersalah,” katanya.