KUALA KANGSAR — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan senjata dan peluru, pada Mac lepas.

Abu Shahriman Othman, 45, yang sebelum ini ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pemburuan haram haiwan terlindung di hutan simpan sekitar Gerik membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senjata api jenis M-16-A1 berwarna hitam beserta dua kelopak M-16-A1.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan maksimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri berwarna coklat gelap serta memiliki 209 butir peluru hidup pelbagai jenis.

Dia didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu di sebuah rumah beralamat No 42, Kampung Padang Jeri, Gerik, pada pukul 12 tengah hari, 11 Mac lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abu Shahriman didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun memohon supaya jaminan diberikan kerana dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan ayah yang sedang uzur.

Rohaida kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemburuan haram.