IPOH : Dua suspek lelaki warga negara Thailand  ditangkap di kawasan Hulu Sungai Tiang, Taman Negeri Royal Belum, Perak kerana menceroboh hutan di kawasan tersebut.

Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua penceroboh itu ditangkap ketika menceroboh hutan simpanan itu pada 10 September lalu.

Katanya, mereka ditahan kerana melakukan jenayah melibatkan pemburuan hidupan liar dan ditangkap hasil serbuan Operasi Bersepadu Khazanah yang dilancarkan pada 3 September lalu.

Ia merupakan operasi bersepadu kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar, dan Taman negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia serta Perbadanan Taman Negeri Perak sebaai usaha memrangi penjenayah hidupan liar di negara ini.

“Pemeriksaan lanjut terhadap dua penceroboh warga negara Thailand itu berjaya menemui 15 unit duri disyaki milik haiwan landak, dua unit taring hidupan liar, dua ekor kura-kura, seekor musang, empat unit jerat kabel, 13 unit racik dan tiga junit disyaki jerat nylon.

“Turut dirampas adalah beberapa peralatan mengambil gaharu seperti dua kapak, dua bilah parang, dua penggali, 11 pencuci gaharu dua unit pukat ikan seunit alat penimbang dan 6.1 kilogram kayu gaharu,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, kedua-dua suspek yang ditahan disiasat kes mengikut Seksyen 29, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Malah katanya, kes turut disiasat di bawah seksyen 60 Akta 716 dan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua seklai dan bagi kes kayu Gaharu, sedang disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan 1993).

Menurutnya, tangkapan itu merupakan kejayaan pertama operasi bersepadu Khazanah bertujuan membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludup hidupan liar dan lain lain pelanggaran di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan lain lain akta yang berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM terutama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam usaha dan inisiatif pelaksanaan operasi bersepadu berkenaan sebagai usaha melindungi flora dan fauna negara ini.

“Saya beri amaran kepada mana-mana individu yang melakukan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan hutan agar hentikan perbuatan itu atau sedia berdepan tindakan undang undang yang tegas.

“Saya berharap orang ramai terus memberi bantuan dan menyalurkan maklumat dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dan polis membantu melindungi khazanah negara daripada pupus,” katanya.

Semua maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.