GWAYI – ZIMBABWE. Seorang pemburu untuk tujuan keseronokan (big game hunter) maut dihempap gajah yang ditembak oleh rakannya, Jumaat lepas.

Menurut laporan CNN, Theunis Botha bersama kumpulannya sedang memburu di Good Luck Farm di Gwayi ketika dikepung sekumpulan besar gajah.

Mangsa dan kumpulannya kemudian diserang oleh beberapa ekor gajah betina.

Seekor gajah yang ditembak kemudian menghempap Theunis dan mangsa maut serta-merta.

Theunis yang berumur 51 tahun sebelum ini menubuhkan taman memburu safari Theunis Botha Big Game sejak 1983.

Jurucakap Taman Nasional Zimbabwe, Nyasha Simukai mengatakan aktiviti memburu oleh Theunis adalah ‘halal’.

Kejadian yang menimpa Theunis menarik reaksi berbeza di kalangan pelayar laman sosial.

“Pemburu gajah maut dihempap gajah..gajah tersebut hero saya,” kata @mamagotyou di laman Twitter.

“Karma serta-merta,” kata @RitaPanahi.

-SinarHarian