IPOH – MIC yakin pemecatan Tan Sri M. Kayveas daripada MyPPP tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dan juga pengudi kaum India pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pemecatan Kayveas mungkin hanya akan memberi sedikit kesan kepada parti MyPPP sahaja dan dijangkakan ia akan diselesaikan secara dalaman di peringkat parti itu dalam masa terdekat.

“Mungkin dalam kalangan anggota parti mereka (MyPPP) ada satu kumpulan yang tidak puas hati, (tapi) itu pun isu-isu persendirian, parti tetap kekal hanya parti buat keputusan pecat presiden.

“Saya rasa keseluruhannya tiada isu, contohnya di mana-mana kawasan MyPP ada pengaruh masyarakat India ia boleh diisi oleh MIC, kita boleh bantu dalam proses itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di Kampung Kacang Putih, Buntong, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, mengenai peluang MIC pada PRU-14 nanti, beliau memberitahu pihaknya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Katanya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya parti kaum India itu mengambil kesempatan daripada krisis kepimpinan yang dialami oleh Pakatan Harapan ketika ini.

“Kita mempunyai keyakinan kalau jentera MIC dan Barisan Nasional bergerak bersama-sama tanpa apa-apa perselisihan faham antara satu sama lain ia akan bantu kita mengambil peluang terhadap isu-isu yang berlaku dalam parti pembangkang.

“Jentera MIC sendiri juga perlu dan akan bekerja kuat bagi memastikan kita berjaya memenangi dua atau tiga kerusi tambahan di peringkat Parlimen dan DUN,” ujar beliau.

Dari segi persediaan, Subramaniam berkata, jentera MIC kini telah bersedia 100 peratus dan gerak kerja telah pun dilakukan untuk mendekati pengundi-pengundi di sembilan kerusi parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi mereka.