IPOH: Orang ramai berpeluang bertemu dengan pemenang-pemenang pingat Paralimpik Rio 2016 negara sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak tahun ini di Kuala Kangsar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (Emas – 100 meter), Muhammad Ziyad Zolkefli (Emas – Lontar Peluru), Abdul Latif Romly (Emas – Lompat Jauh) dan Siti Noor Radiah Ismail (Gangsa – Lompat Jauh) dijangka hadir memeriahkan Larian Hari Keputeraan di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar pada 13 November depan.

“Sebanyak empat kategori acara yang dipertandingkan iaitu larian 15 kilometer, larian 10 kilometer, larian 7 kilometer dan kategori VVIP, 2 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.

Beliau memberitahu, pelepasan peserta kategori 15 kilometer, 10 kilometer dan 7 kilometer akan disempurnakan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, manakala bagi kategori VVIP 2 kilometer akan disempurnakan oleh Raja Datuk Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah AlMaghfur-Lah.

Abdul Puhat berkata, larian itu adalah antara program yang diadakan sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak 2016 yang disambut pada Jumaat, 4 November 2016.

Menurut beliau, acara pembuka tirai sambutan ialah majlis kesyukuran, bacaan Yassin dan Tahlil di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar bermula jam 12 tengahari Jumaat yang turut diadakan serentak di semua masjid daerah serta seluruh masjid lain di dalam negeri Perak.

 Sebelah petangnya, pula, kata beliau, Majlis Bersama Rakyat di Persisiran Sayong Kuala Kangsar akan diadakan mulai jam 4.30 petang yang  dijangka menarik kehadiran lebih 5,000 pengunjung dan rakyat jelata dari seluruh pelosok negeri.

Katanya, acara kemuncak sambutan akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu, 5 November dengan Istiadat Kawalan Kehormatan, Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia, Istiadat Penyembahan Kembali Baur & Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran.

Beliau menambah, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran akan disambung pada hari Sabtu, 12 November 2016.

“Pada tarikh-tarikh tersebut, seluruh bangunan kerajaan, agensi kerajaan, premis-premis perniagaan dan persendirian akan mengibarkan bendera Negeri Perak,” katanya.