IPOH: Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat di Tanjung Malim khususnya.

Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jasa dan pengorbanan beliau untuk terus kekal bersama UMNO dan BN di saat kehilangan kuasa menunjukkan komitmen Allahyarham terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Saya bagi pihak UMNO dan BN Perak mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau ke rahmatullah petang tadi.

“Doa kami agar roh beliau diletakkan bersama para pejuang serta orang-orang beriman, Amin,” katanya dalam satu kenyaaan.

Khusairi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung.

Menurut laporan Bernama, Allahyarham dikatakan tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Sementara itu, menurut maklumat yang diperolehi dari Pejabat Menteri Besar Perak, urusan mandi dan kapan akan dilakukan di Hospital Bentong yang dijangka selesai jam 10 malam ini.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke rumah ibu Allahyarham di Felda Sungai Behrang, Slim River malam ini juga.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Felda Sungai Behrang jam 9 pagi esok dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.