IPOH 3 Mei – Jabatan Kesihatan negeri akan mengadakan pemeriksaan mengejut khususnya di bazar-bazar Ramadan bermula minggu depan bagi memastikan keselamatan dari segi kebersihan makanan dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, sampel-sampel tertentu akan diambil dari gerai-gerai yang disyaki menjual makanan tercemar untuk dianalisis.

“Minggu depan kita akan adakan mesyuarat dengan Jabatan Kesihatan supaya pegawai di daerah masing-masing dapat turun padang untuk melakukan pemantauan.

“Mereka akan menghantar laporan mengenai makanan-makanan yang dijual dalam bulan Ramadan melihat dari segi makanan berkhasiat dan kebersihannya. Langkah ini bagi memastikan keselamatan orang awam kerana ramai yang akan membeli di bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Buntong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata, pemantauan harga barangan jualan pula bukan sahaja akan dilakukan di bazar Ramadan tetapi juga di pasar-pasar awam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada para peniaga bahawa tindakan akan diambil ke atas mereka yang menaikkan harga dengan sesuka hati.

“Selain itu, kita juga ada skim kawalan harga musim perayaan tetapi itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – UTUSAN ONLINE