IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri telah memeriksa 33 premis penjualan arak dan dua kilang pengeluaran arak dalam satu penguatkuasaan di seluruh negeri sejak Oktober lalu.

Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan berkata, dua notis kesalahan dengan nilai kompaun RM6,000 telah dikeluarkan berkaitan bungkusan dalam botol kaca dengan isipadu minima 700 mililiter.

“Sebanyak 11 sampel telah diambil setakat ini untuk analisis dan keputusan belum diterima dari makmal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ling He Mey.

Menurutnya, operasi diteruskan bagi melindungi keselamatan orang ramai sempena perayaan Krismas akan datang.

“Ia turut berkaitan 97 kes keracunan alkohol sehingga menyebabkan 48 kematian di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak, September lalu.

“Kementerian Kesihatan mewartakan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada 27 Mei 2016 telah berkuatkuasa 16 Oktober lalu selaras untuk mengurangkan kebolehdapatan minuman beralkohol di pasaran,” katanya.

Sivanesan berkata, pindaan tersebut terdiri peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol yang sedia ada dan mewujudkan peraturan baru 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (CHL).

“Pindaan itu adalah melarang minuman beralkohol mereka yang kurang 21 tahun selain mewajibkan mempamer notis ‘minum arak boleh membahayakan kesihatan’ di atas label dan hadapan lokasi.

“Peraturan baru 386A pula diwujudkan bagi mengawal keselamatan dan kualiti produk serta memberi maklumat tepat seperti mengandungi sama atau lebih banyak daripada 32.5 peratus isipadu per isipadu peralkohol dan ditulis lavel sesuatu bungkusan perkataan CHL,” katanya.

Katanya, kegagalan mematuhi Peraturan 361 dan 386A mengenai CHL merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara dua tahun – sinar