IPOH 30 April – Kerajaan negeri Perak akan melakukan pemeriksaan secara rawak tahap kebersihan meja dan pelayan kedai makan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, A. Sivanesan berkata, ini bagi membudayakan amalan menjaga kebersihan premis berkenaan yang bukan terhad di dapur dan cara penyediaan makanan sahaja.

Menurutnya, langkah tersebut juga bertujuan mendidik peniaga agar mengambil berat aspek kebersihan termasuk penampilan pelayan.

Beliau berkata, ada dalam kalangan peniaga mengabaikan kebersihan meja makan misalnya menggunakan kain yang kotor untuk mengelap meja.

“Perkara ini mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya meja makan yang kotor boleh menyebabkan penularan seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

“Ini berdasarkan beberapa ujian yang telah dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri apabila mendapati kebanyakan meja di restoran tidak bersih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Sabun Pencuci Tangan di Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, Ulu Kinta di sini hari ini.

Program yang dilakukan serentak di seluruh negara melibatkan 450,000 murid-murid Tahun Satu untuk dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia.

Acara sama turut dilakukan melibatkan 852 buah sekolah rendah di Perak dengan seramai kira-kira 33,588 orang murid.

Program ini dilakukan dengan kerjasama syarikat Melilea (M) Sdn. Bhd.

Sementara itu tambah Sivanesan, sepanjang tahun ini seramai 156 murid di Perak dijangkiti HFMD dengan sebahagian besarnya terdiri berumur antara enam hingga 10 tahun.

Katanya, walaupun jumlah ini kecil, tetapi Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Pendidikan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk melakukan saringan terhadap murid-murid bagi mengelak jangkitan,” katanya. – UTUSAN

ONLINE