IPOH: Kerajaan Negeri menafikan wujud unsur kroni dalam pemilihan penerima projek perumahan awam rakyat di Parit Haji Wahab, Parit Buntar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan
Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata tiada sebarang pilih kasih dalam penyaringan penerima bagi projek mana majlis penyerahan kunci telah dibuat Oktober lalu.

Jelasnya, projek yang bermula pada May 2014 itu telah menerima sebanyak 1,133 permohonan dan telah melalui proses pemilihan yang berperingkat dan telus sejak awal penapisan nama.

“Kesemua 1,133 permohonan telah melalui sesi temuramah yang dikendalikan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah, Unit Perumahan dari Kerajaan Negeri dan pejabat Penghulu, dan akhirnya pada Oktober seramai 60 nama telah dipilih.

“Senarai 60 nama yang terpilih telah dicetak dan dipamerkan di Pejabat Tanah dan Daerah supaya orang ramai boleh merujuk dan mengemukakan sebarang bantahan di dalam nama yang tersenarai kepada pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP),’’ katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata, proses pemilihan untuk projek yang bertujuan memberi keselesaaan rumah kos rendah kepada rakyat biasanya bersifat telus dan melalui proses terperinci untuk mempertimbangkan kriteria-kriteria tertentu sebelum keputusan dibuat.

Rusnah berkata, projek tersebut memperuntukkan 100 unit rumah justeru penilaian terperinci perlu dilakukan memandangkan nisbah pemohon dan unit tersedia adalah pada kadar 100:1.

Tegasnya, kerajaan negeri tidak pernah bersifat tidak adil khususnya dalam hal yang melibatkan pemilikan rumah untuk masyarakat di negeri ini.

“Selebihnya 40 lagi nama masih lagi di dalam proses penapisan dan sebanyak 10 penerima dikhaskan untuk kuota veteran askar.

“Sekali lagi saya tegaskan, kami tidak pernah bersikap pilih bulu kepada mereka yang benar-benar layak untuk memiliki rumah,” ujarnya lagi.