IPOH: PKR Perak akan memulakan proses pemilihan parti pada Ahad, yang akan dijalankan serentak di semua 24 cabang di negeri ini.

Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, seramai 60,324 ahli akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam menentukan tampuk kepimpinan parti bagi sesi yang akan datang.

Beliau memberitahu, seramai 58 orang yang telah menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang untuk 24 cabang dan seramai 1183 calon yang bertanding bagi semua peringkat.

“Keadilan Perak juga menganggarkan sebanyak 40% iaitu 24,129 anggota akan keluar menunaikan hak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Aishah berkata, pihaknya mengharapkan semua proses yang akan berjalan dalam pemilihan esok akan berlangsung secara aman dan tertib.

“Pimpinan juga mengharapkan kematangan semua pihak dalam memastikan fokus utama dalam soal pemilihan kepimpinan keadilan berlaku dalam semangat kekeluargaan,” ujarnya.