IPOH – Proses pemilihan PKR kali ini amat penting untuk ahli-ahlinya memilih pucuk pimpinan kerana ia bakal memberi kesan kepada parti itu khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Calon Ketua Cabang Tambun, Khairul Anuar Musa berkata, PKR selaku parti memerintah perlukan pucuk pimpinan akar umbi yang kuat supaya sokongan rakyat terhadap parti berkenaan terus diperkukuhkan.

“Kita perlu memilih pemimpin yang jujur dalam perjuangan, ini paling penting kerana lima tahun lagi rakyat akan menilai kita semula, kita tak mahu hilang kuasa kerana tersilap memilih pemimpin.

“PKR adalah parti memerintah, jadi tugas kita untuk pastikan ia kekal memerintah dengan barisan pemimpin-pemimpin dari atasan sehingga ke bawah yang berkaliber,” katanya ketika ditemui.

Khairul Anuar ditemui ketika proses pemilihan PKR Tambun di Dewan Grand Ballroom, Ad Catering and Canopy, di sini, hari ini.

Khairul Anuar berdepan penyandang Ketua Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta merebut jawatan nombor satu cabang berkenaan.

“Saya menawarkan kepada ahli cabang untuk menjadi semak dan imbang di kawasan tambun, saya juga akan mewujudkan koperasi untuk jaga ahli-ahli PKR Tambun.

“Insyaallah kalau ahli Tambun terjaga maka rakyat itu sendiri yang akan terjaga, saya buat semua ini hanya untuk rakyat Tambun,” ujarnya ketika ditanya mengenai pembaharuan yang ditawarkan kepada ahli-ahli sekiranya dipilih menjadi Ketua Cabang.

Seramai 64,324 ahli layak untuk mengundi pada pemilihan PKR Perak, hari ini melibatkan 24 cabang di seluruh negeri.