SELAMA: Pemilihan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada hari ini adalah berdasarkan kelayakan beliau dalam menerajui Malaysia secara adil.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, apa yang disuarakan PAS untuk memperjuangkan Perdana Menteri dipilih di kalangan kaum Melayu adalah realiti masa kini.

Menurut beliau, sejak negara merdeka sehingga hari ini, memang orang Melayu yang menjadi Perdana Menteri dan ia diterima baik oleh semua kaum di negara ini.

“Apa yang penting kepada kita adalah keadilan, kalau orang Melayu sendiri pun tidak dapat memberikan keadilan maka sudah tentu pemimpin tersebut tidak dapat memberikan sesuautu yang baik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sempena Karnival Pengguna:Jelajah Pendidikan Bumiputera di Dewan SMK Datuk Haji Hussein, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada semalam kononnya sedih dengan usul PAS yang ingin Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu.

“Seperti ada bukan Islam yang mahu merampas jawatan tersebut pula…”, kata Guan Eng sebagai mengulas keputusan sebulat suara PAS untuk memperjuangkan Perdana Menteri dipilih dari kaum Melayu.

Hamzah berkata, hari ini terbukti bahawa Najib merupakan seorang yang adil, bukan hanya dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera, malah juga kaum-kaum lain.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, nilai keadilan dalam kepimpinan Najib terserlah dengan penganjuran pelbagai program transformasi untuk semua pihak.

Menurut Hamzah, memang sifat semula jadi pembangkang di ngera ini yang sentiasa mengkritik kerajaan tetapi tidak mustahil akhirnya mereka akan membuat pusingan U seperti isu BR1M dan GST.