PETALING JAYA: Seorang pemilik kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima lebih RM500,000 hasil aktiviti haram, tiga tahun lalu.

T Soundthirarajan, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Mengikut semua pertuduhan, Soundthirarajan didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM531,642 yang juga hasil aktiviti haram ke dalam akuan RHB Bank Berhad milik Raveen Jewellery Enterprise yang mana dia adalah pemilik tunggal perniagaan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad, Damansara Jaya dekat sini, antara 5 Januari 2015 hingga 9 Mac 2016.

Tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Shafinas Shabudin memohon jaminan RM400,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan munasabah atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM105,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes – berita harian