MELAKA: Seorang pemilik kedai kasut didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki 126 pasang kasut berjenama tiruan, tiga tahun lalu.

Tan Chuan Yong, 56, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik perniagaan Golden Shoes Centre didakwa mempunyai dalam kawalan untuk pembekalan 54 pasang kasut pelbagai saiz menggunakan cap dagangan palsu jenama Nike di premis perniagaan di Jalan Kilang, jam 12 tengah hari 29 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dalam kawalan untuk pembekalan 72 pasang kasut pelbagai saiz menggunakan cap dagangan palsu jenama Adidas di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Alison Chan, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mengetahui barang dalam milikannya itu menggunakan cap dagangan palsu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama, dan RM7,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada 29 Jun 2015, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK negeri melakukan pemeriksaan di premis tertuduh dan menjumpai 54 pasang kasut menggunakan jenama Nike dan 72 pasang kasut jenama Adidas tiruan.

Tertuduh mengaku kasut itu adalah miliknya, sebelum pihak berkuasa terbabit menyita barang berkenaan dan membuat laporan polis – beria harian