Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang pemilik kilang emas mengalami kerugian sekitar RM19,000 selepas premisnya dipecah masuk oleh empat lelaki lengkap bertopeng dalam kejadian di Jalan Pasir Puteh, dekat sini pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, empat lelaki bertopeng dipercayai telah memecah masuk ke dalam kilang emas itu dan mencuri beberapa barangan kemas yang keseluruhannya bernilai sekitar RM19,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata kejadian berlaku semasa mangsa yang merupakan pemilik bersama kilang emas berada di rumah dan menerima panggilan berkenaan insiden itu.

“Pengadu berkenaan, menerima panggilan telefon sekitar 4.23 pagi daripada rakan kongsi dan memberitahu bahawa kilang emas mereka di Jalan Pasir Puteh telah dimasuki orang dan setibanya di sana,pengadu bersama bantuan angota polis tiba telah masuk ke dalam premis.

“Mereka kemudiannya mendapati siling dan bumbung di bahagian belakang pecah dan pengadu mengesyaki kesemua pencuri bertopeng masuk melalui siling berkenaan, sebelum melakukan pemeriksaan barang-barang yang hilang di premis itu,”katanya ketika dihubungi pada petang Isnin.

Katanya, antara barangan yang hilang adalah dua peti wang mengandungi wang tunai, tiga utas gelang tangan, tiga utas rantai leher, tiga biji loket dan dua bentuk cincin serta sepasang anting-anting di mana kesemuanya bernilai hampir RM19,000.

Mohd Ali berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek bertopeng itu memasuki premis melalui bumbung di belakang kilang sebelum memecahkan siling dan terus memasuki ruang pejabat di tingkat bawah untuk mendapatkan wang tunai dan barangan kemas.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya lagi.

Difahamkan, kilang emas yang terletak di Pasir Puteh itu agak dikenali di Ipoh kerana sering menjadi lokasi pilihan bagi tempahan barang kemas mengikut citarasa pelanggan.