IPOH: Pemilik tanah di Bandaraya Ipoh yang sengaja membiarkan tanah mereka tanpa diuruskan dengan baik sehingga boleh memudaratkan penduduk setempat seperti menyebabkan penularan wabak Chikungunya, bakal berdepan tindakan tegas seperti dikenakan kompaun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, dianggarkan 40,000 lot tanah di bandar raya ini dikenal pasti sebagai tanah yang sengaja dibiarkan pemilik.

Menurutnya, masalah itu susah untuk diatasi kerana ia melibatkan tanah-tanah milik persendirian.

“Oleh itu, semalam kita membuat keputusan akan mengeluarkan kompaun kepada mereka ini. Ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan kerana bilangannya bukan sedikit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata Rumaizi, tindakan kompaun itu adalah tindakan terakhir selepas tindakan pemantauan dan teguran dibuat kepada pemilik tanah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik tanah agar dapat memastikan kebersihan di tanah-tanah milik mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.

Minggu lalu media melaporkan jumlah kes wabak Chikungunya di negeri ini meningkat kepada lebih 30 kali ganda apabila merekodkan 454 kes sejak awal tahun sehingga 23 Mei lalu berbanding hanya 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata daripada angka tersebut daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya.

Menurut beliau, antara punca kepada peningkatan kes tersebut ialah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti di kawasan lot tanah terbiar dan premis yang tidak berpenghuni.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, kebersihan tanah-tanah milik MBI sentiasa diuruskan dengan baik selain dipantau pada semasa ke semasa.