GUA MUSANG: Malang bagi seorang pencuri apabila bukan sahaja gagal membawa lari motosikal jenis Yahama 125Z, malah turut ditangkap sendiri pemilik motosikal itu di Taman Kesedar Jaya, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketika kejadian jam 5 pagi, lelaki berusia 20 tahun itu menceroboh kawasan rumah pemilik motosikal, Mohd Fatihi Mohd Zubir, 28, yang tersedar kejadian curi itu apabila lampu motosikal yang terletak di depan rumah, tiba-tiba menyala.

Katanya, dia yang baru saja bersiap untuk tidur, terus bergegas keluar dan mendapati pencuri motosikal sedang menghidup enjin motosikalnya.

“Sebaik melihat suspek, dengan pantas saya menangkap lelaki itu sebelum dibantu jiran untuk mengikat kedua-dua tangan berhampiran motosikal.

“Lelaki itu juga cuba melarikan diri dengan keadaan tangan terikat dan kami dibantu beberapa jiran mengejarnya sejauh 100 meter sebelum dapat ditangkap semula,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Fatihi berkata, hasil pemeriksaan pada tangan lelaki itu, terdapat sebuah alat khas dipercayai digunakan untuk menghidupkan enjin motosikal.

Katanya, sebaik lelaki terbabit ditangkap, penduduk lain yang berada di tempat kejadian menghubungi polis bagi menyerahkan lelaki tidak dikenali itu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, motosikal milik mangsa bersama suspek terbabit masih ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan – Berita harian