KUALA KANGSAR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan warga Malaysia, khususnya pemimpin, supaya tidak menjadi dalang melakukan provokasi yang boleh menyalakan kebencian antara kaum dan api permusuhan antara agama di negara ini.

Titah baginda, amatlah mendukacitakan, suasana harmoni yang telah sekian lama menjadi budaya hidup majoriti rakyat di negara ini, mahu dimusnahkan, semata-mata disebabkan persaingan politik; berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang riak dengan kemenangan atau berdendam jika kalah.

Sebaliknya, baginda bertitah, pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan ILAHI secara terhormat.

“Ada negara yang menghadapi konflik hingga hancur musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, ada yang disebabkan kerana berlainan agama, ada yang berkonflik kerana kelainan kaum, ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah, dan ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.

“Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik, namun para pemimpin terdahulu, memilih untuk tidak berkonflik.

“Para pemimpin yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama.

“Kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah membangunkan sebuah negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus kita pupuk, agar kita juga dapat mewariskan, sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur kepada generasi akan datang,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-11, di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Sultan Nazrin yang juga Tuanku Canselor USAS bertitah, kebijaksanaan para pengasas negara yang memiliki hikmah membangunkan negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus dipupuk, agar sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Titah baginda, pengalaman pahit yang berlaku di negara tertentu, wajib dijadikan teladan dan sempadan.

“Beberapa buah negara yang sama-sama mencapai kemerdekaan, dalam zon masa yang sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, pasca Perang Dunia Kedua, pada hari ini, terbantut pembangunannya, mundur ke belakang, terjejas kemakmurannya, disebabkan krisis yang berpunca oleh faktor-faktor konflik agama, konflik kaum dan konflik kumpulan politik,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, suasana negara yang aman dan hubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum dan agama, adalah antara faktor yang membolehkan sumber dan hasil negara ditumpukan kepada sektor-sektor pembangunan yang lebih produktif, daripada digunakan untuk membesarkan pasukan keselamatan dan angkatan pertahanan.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan para graduan supaya menggunakan pengetahuan yang diperolehi untuk menjadi warga berilmu, berfikiran rasional dan tidak mudah diracuni minda untuk terlibat mencetuskan persengketaan berdasarkan emosi.

Titah baginda, mereka juga perlu menjadi warga berilmu yang arif mengelakkan diri daripada diperalatkan untuk memenuhi nafsu orang yang berfikiran cetek dan tidak berwawasan jauh.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan melantik Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin sebagai Pro Canselor USAS yang pertama.

Konvokesyen kali ini melibatkan 1,303 graduan daripada 15 program diploma, enam program ijazah sarjana muda, tiga program ijazah sarjana dan satu program Ijazah Doktor Falsafah Usuluddin.

Prof Dr Wan Sabri di dalam ucapannya memberitahu, tahun ini USAS sekali lagi melakar sejarah apabila julung kali berjaya melahirkan seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah, di samping kumpulan pertama lima graduan Sarjana Teknologi Maklumat.