PETALING JAYA : Pemimpin Barisan Nasional (BN) mula tiba di Hotel Sheraton ketika spekulasi pembentukan kerajaan baharu bertiup kencang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di hotel berkenaan pada jam 7.10 malam bersama beberapa Ahli Parlimen BN yang lain.

Antara yang kelihatan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba yang ditemui mengesahkan arahan diterima pucuk pimpinan parti untuk datang ke hotel ini, malam ini.

“Ya, arahan semua pemimpin (BN) ke sini. GPS (Gabungan Parti Sarawak), WARISAN (Parti Warisan Sabah), mungkin juga (hadir),” katanya ringkas ketika ditemui.

Terdahulu beberapa Ahli Parlimen PKR tiba di hotel ini. Ahli Parlimen Jeli dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mustapha Mohamad juga tiba sebentar tadi. BH