PARIT BUNTAR – Kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta berhenti berbalah sesama sendiri tetapi sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan rakyat.

Timbalan Pengerusi BN berkata sebagai pemimpin mereka mesti mempunyai pendirian tegas tanpa terikat dengan kata-kata pengikut yang akhirnya memecah belahkan perpaduan ahli.

“Jadi pemimpin memang setiap pemimpin ada pengikut, pemimpin mesti memimpin, pemimpin bukan mesti mengikut, mereka (pengikut) boleh berikan pandangan dan nasihat pada kita bukan mendegar nasihat pada “punahsihat”

“Kita pemimpin, kita ada pendirian..pemimpin mesti lebih baik dari orang yang dipimpinnya. Kita nak selamatkan kerusi dan perkukuhkan kerajaan negeri yang ada kalau di bawah pengikut ini tak betul, itu tak betul semua tak betul.. dirinya saja yang betul…kita punah.

“Cukuplah….cukuplah, orang BN dan orang UMNO lupakan sengketa lupakan masalah dalaman demi maruah UMNO demi maruah BN kita perkukuhkan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Pemimpin bersama Rakyat Daerah Kerian di Dataran Kerian Permai, di sini hari ini.

Yang turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Mat Bakar Ali dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Pada majlis itu beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan janji untuk memberi keutaman kepada kepentingan rakyat negeri Perak.

“Saya ikhlas membantu Perdana Menteri, saya ikhlas membantu negeri saya, saya ikhlas bantu Menteri Besar Perak dan ini tidak bermakna negeri diabaikan tetapi sebagai anak jati negeri Perak saya ikhlas bantu,” katanya.