PETALING JAYA: PKR hari ini meminta pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku membantu pihak berkuasa dengan “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai, sebulan selepas video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali tersebar.

Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

“Serta menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, (dan) kedudukan dalam parti, apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai mereka,” katanya dalam kenyataan.

Shamsul berkata perkara itu sudah dijangka akan berlaku jika seorang pegawai kerajaan berdepan siasatan pihak berkuasa.

“Beliau akan dilepaskan dari tugasan hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugas serta-merta,” katanya.

Sementara itu, ketua penerangan PKR itu menarik perhatian kepada kemusykilan orang ramai mengenai siasatan ke atas video seks sejenis itu.

Beliau berkata siasatan sekarang nampaknya beralih kepada penyebaran video itu dan bukan ketulenannya.

“Keraguan masyarakat ini akan menjadi lebih parah sekiranya pihak berkuasa dilihat atau disyaki membuat siasatan bagi tujuan melindungi individu-individu yang berkuasa,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq ditahan pada 14 Jun dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

 

-FMT