IPOH – Kewujudan isu berkaitan sijil akademik palsu didakwa milik beberapa pemimpin PH sebenarnya memberi bebanan besar kepada kerajaan PH dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap mereka pada masa hadapan.

Pengerusi Gabungan Pelajar-pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, kesemua pemimpin PH terpalit dengan isu ini sewajarnya meletakkan jawatan dengan memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkelayakan bagi mengelakkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH semakin terhakis.

Menurutnya, apabila mana-mana pemimpin diamanahkan memegang jawatan penting kerajaan tidak telus menyatakan kebenaran tentang diri mereka, senario itu tidak langsung memberi tanggapan negatif rakyat terhadap keupayaan kerajaan secara keseluruhan.

“Masalah negara ini adalah kita kurang orang politik bersikap jujur dalam kerajaan. Rasulullah SAW sentiasa bersikap jujur dalam apa sahaja keadaan kerana apabila seseorang pemimpin bersifat jujur, ia akan memberi refleksi kebaikan kepada orang lain untuk diikuti mereka.

“Matlamat tidak menghalalkan cara. Hendak nampak bagus, tidak semestinya kena ada ‘degree’ baru bagus. Bila tidak bersikap jujur dalam diri, macam mana orang lain hendak ikut kita?,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Hasnul Fairuz berkata, bagi menangani krisis kepercayaan rakyat semakin menipis, kerajaan PH kena memikirkan mekanisme sesuai untuk memastikan taraf sijil akademik pemimpin menggalas jawatan penting kerajaan adalah bersesuaian dengan portfolio dipegang.

Menurutnya, selain kepentingan memiliki sijil akademik sah, pemimpin PH yang menggalas portfolio menteri, timbalan menteri dan exco kerajaan juga perlu memiliki barisan penasihat dan pegawai kanan berkualiti, mesra rakyat dan efisien dalam setiap tugas diamanahkan.

“Walaupun seseorang pemimpin itu mungkin tiada ‘degree’, namun sekiranya dia memiliki barisan penasihat dan orang kanan berkualiti dan mempunyai pemikiran progresif, tiada masalah pemimpin itu tiada sijil akademik tinggi.

“Sama juga kalau pemimpin itu mempunyai taraf pendidikan tinggi sekalipun, namun dikelilingi barisan penasihat tidak bagus, ia akan merosakkan kredibiliti pemimpin terbabit. Semua pegawai penasihat mengeliling seseorang pemimpin penting kerajaan perlu mempunyai kualiti 3P iaitu pengetahuan, pendidikan dan pengalaman bagi membentuk satu kekuatan pasukan dinamik,” katanya.

Hasnul Fairuz turut menasihatkan kerajaan PH supaya mengikis sikap takut, prejudis dan syak wasangka kepada rakyat negara ini sekiranya hendak menjadi sebuah kerajaan lebih baik daripada pentadbiran BN terdahulu.

Menurutnya, kerajaan PH harus mempunyai sikap merendah diri dan konsisten membuat perkara kebaikan kepada rakyat dengan menfokuskan pembangunan dan peningkatan modal insan negara ini pada masa hadapan.

“Bila jadi kerajaan perlu lebih baik daripada sebelum ini, semua kumpulan penasihat menteri dan exco perlu sentiasa beri ruang kepada rakyat untuk mendekati pemimpin kerajaan PH.

“Jika tiada ruang, bagaimana pemimpin hendak merasa denyut nadi rakyat dan masalah menjadi lebih parah bila kerajaan masih bersikap prejudis terhadap rakyat,” katanya – sinar harian