BANGI : Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimaklumkan bahawa ada pemimpin UMNO yang bertemu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini telah hilang parti dan tidak tahu sama ada mahu menyertai parti lain atau tidak.

Perdana Menteri berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) seramai 17 orang itu turut memberitahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mereka tidak tahu untuk membuat apa-apa, sama ada menyertai parti lain atau pun sebaliknya.

Malah jelas beliau, ada kenyataan dari pemimpin itu yang menyokong kepimpinannya.

“Saya tanya apa beliau bincang, Azmin kata pemimpin UMNO itu sudah hilang parti dan tidak tahu apa nak buat sama ada masuk parti lain atau tidak.

“Ada kenyataan dari mereka juga yang sokong kepimpinan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pendekatan Mohamed Azmin berjumpa pemimpin pembangkang, Dr. Mahathir berkata Timbalan Presiden PKR itu ada hak bertemu sesiapa.

Jelas beliau, jika PKR tidak bersetuju dengan tindakan Mohamed Azmin itu, parti tersebut perlu memberitahunya.

“Saya tiada idea tapi Azmin ada hak jumpa, kalau parti dia tak setuju, beritahu beliau.

“Dia bukan parti saya,” katanya.

Pada malam Isnin lalu, Mohamed Azmin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan BN di kediamannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, Azmin berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka dalam pertemuan berkenaan.

Presiden PKR, Datuk Seti Anwar Ibrahim bagaimanapun mahu timbalannya itu memberi penjelasan mengenai pertemuan berkenaan yang telah menimbulkan pelbagai persoalan daripada pihak kerajaan.