KIRA-KIRA 53,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menikmati manfaat apabila dapat mengeluarkan wang daripada Akaun 2 di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelesaikan pinjaman mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya menyambut baik usaha KWSP itu kerana mampu meringankan beban peminjam yang terbabit masalah hutang dalam PTPTN.

“Antara Januari hingga Mei tahun ini, jumlah bayaran pinjaman melalui Akaun 2 KWSP kepada PTPTN adalah sebanyak RM536.6 juta.

“Hampir 30 peratus daripada jumlah kutipan bayaran balik keseluruhan ini adalah melalui skim tersebut,” katanya kepada China Press.

Menurut Shamsul Anuar, bagi peminjam PTPTN, mereka seharusnya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh KWSP bagi menyelesaikan hutang mereka yang masih tertunggak.

Beliau sekali lagi mengingatkan peminjam seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2016, mana-mana peminjam PTPTN yang menyelesaikan pinjaman sebelum 31 Disember tahun ini akan diberikan diskaun 15 peratus.

Manakala bagi yang ingin membayar balik minimum 50 peratus daripada baki hutang pula akan menikmati diskaun 10 peratus.

Sin Woon sedia debat

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon sedia menerima cabaran daripada Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong untuk berdebat mengenai isu pendidikan negara ataupun isu berkaitan perbandingan antara MCA dan DAP.

Menurut Sin Woon, beliau menyahut cabaran Kok Seong itu dan segala hal berkaitan tajuk, tarikh dan lokasi akan dibincangkan kelak.

Sin Woon berkata demikian setelah Kok Seong mendakwa menerusi debat, kedua-dua parti boleh melihat sejauh mana analisis dikemukakan MCA itu berasas ataupun tidak.

“Apa yang MCA mahukan ialah kebenaran dan bukan seperti DAP yang gemar mencetuskan isu serta melakukan pelbagai tohmahan,” katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Kelmarin, Kok Seong yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan menghantar undangan cabaran debat di Pejabat Khidmat Masyarakat Sin Woon di Lobak, Seremban.

Menurut Kok Seong, Sin Woon adalah Timbalan Menteri Pendidikan dan beliau adalah orang yang paling sesuai berdebat mengenai dasar pendidikan negara dengan tajuk ‘Adakah dasar pendidikan negara adil terhadap pelbagai aliran sekolah yang ada termasuk aliran sekolah Cina’.

Durian berkurangan di pasaran

Pengusaha durian di Malaysia bakal mengalami kerugian apabila hasil pengeluaran berkurangan akibat cuaca buruk.

Menurut Presiden Interim Persatuan Pengeksport Durian, Paul Mak, mengikut kebiasaan antara Jun hingga Ogos musim bagi pengusaha durian memperoleh hasil mereka.

“Bagaimanapun, tahun ini durian dijangka hanya akan berbuah pada pertengahan Ogos. Diharapkan Disember tahun ini, hasilnya akan lebih banyak dan membolehkan pengusaha mengeksport ke luar negara,” katanya ketika dihubungi China Press.

Menurutnya, akibat keadaan hujan yang tidak menentu, selain jualan eksport merosot, jumlah jualan durian di pasaran tempatan turut berkurangan secara mendadak.

“Kini boleh dikatakan, ramai orang tercari-cari durian di seluruh negara. Ada orang mendakwa harga durian semakin mahal di pasaran, kononnya ditentukan oleh pekebun dan peniaga.

“Saya boleh katakan pada hari ini, durian memang sukar diperoleh ketika ini, tak ada kena-mengena dengan pekebun dan peniaga,” katanya.

Beliau berkata, beberapa negara seperti China kini kerap mengimport durian dari Malaysia, terutama durian yang bermutu tinggi seperti Musang King dan D24.

“Harga Musang Kini kini mencecah antara RM60 hingga RM70 sekilogram. Malah, beberapa bulan sebelum ini, harganya telah dinaikkan kepada RM120 sekilogram.

“Ramai warga asing terutama warga China gemar makan durian. Akibat jumlah eksport semakin berkurangan, menyebabkan ramai daripada mereka sanggup menaiki kapal terbang datang ke negara kita untuk menikmati Raja Buah ini,” katanya.

-SinarHarian