KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam oleh Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) akan dikeluarkan, sekiranya mereka berhasrat membeli rumah pertama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, skim berkenaan akan dilancarkan pada 18 Oktober depan sewaktu pelancaran skim perumahan belia.

“Mana-mana pembeli rumah pertama atau graduan yang disenarai hitamkan oleh CCRIS boleh dikecualikan dari senarai hitam untuk membeli rumah.

“Untuk beli rumah sahaja, kereta tidak boleh,” katanya sewaktu ditemui pemberita, selepas sidang media Hi Home di Tasik Perdana, hari ini.

Sebelum ini, mana-mana peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan oleh CCRIS tidak layak untuk membuat sebarang pinjaman di bank.

Zuraida berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berhubung perkara itu selepas berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sudah (berbincang dengan Wan Saiful). Saya hubunginya sahaja. Saya sudah hubunginya sejak sebulan yang lalu. Cuma kita kini dalam proses untuk dapatkan pakej,” katanya.

Menurutnya, pelbagai lagi skim perumahan untuk belia akan diumumkan kelak, termasuk pakej perumahan untuk pembeli rumah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Mengulas mengenai isu pemecatan Haziq Abdul Aziz dari PKR, Zuraida berkata, gesaan sama akan dibuat sekiranya individu yang dituduh Haziq disahkan bersalah oleh pihak berkuasa.

“Kita biarkan pihak berkuasa untuk lakukan siasatan. Keputusannya akan dibuat selepas hasil siasatan diumumkan.

“Haziq mengakui beliau terlibat, disebabkan itu gesaan dibuat. Tetapi jika terbukti ada salah laku, maka perlu juga disingkirkan,” katanya.

Simpati terhadap Wan Ji

Zuraida turut menzahirkan rasa simpatinya terhadap pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang dipenjara selama setahun di bawah Akta Hasutan kerana didapati bersalah menghina Sultan Selangor.

“Mengenai kes Wan Ji, saya simpati beliau dan saya harap ada ruang yang boleh dikaji dan buat rayuan untuk membenarkan beliau, serta meringankan hukuman atau digugurkan,” katanya.

Zuraida berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir alih Putrajaya, tidak dinafikan bukanlah perkara mudah untuk memansuhkan Akta Hasutan, akta yang disifatkan sebagai akta drakonian.

“Ada banyak prosedur yang perlu dilalui. Jika kita tidak melaluinya (usaha untuk memansuhkan), kita sama seperti BN. Kita perlu bincang dan pergi ke sidang Parlimen,” katanya merujuk Barisan Nasional.

 

-FMT