IPOH 7 Mei – Kerja-kerja pemodenan kompleks terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan (LTSAS) di sini termasuk pemanjangan landasan bagi menjadikannya sebagai lapangan terbang serantau, dijangka siap menjelang tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri pada tiga minggu lalu telah memutuskan beliau untuk mengetuai jawatankuasa induk bagi merencanakan projek berkenaan.

Menurut Mohammad Nizar, beliau akan dibantu oleh dua lagi exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

“Oleh itu, saya telah menjadualkan mesyuarat koordinasi dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan, buat kali pertama secara rasmi pada 14 Mei ini.

“Kita target dalam masa tiga tahun selepas kelulusan dibuat, maka kita akan lihat satu perkembangan lapangan terbang baharu di Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyertai majlis berbuka puasa tajaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Masjid Raja Dr. Nazrin Shah di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria. – UTUSAN ONLINE