KUALA LUMPUR: “Saya hampir tidak percaya apabila dihubungi pemaju memaklumkan tersenarai sebagai penerima Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) kerana hanya memohon kali pertama tahun lalu,” kata Mohd Khuzainey Abd Razak.

Pengawal keselamatan sekolah berusia 40 tahun itu berkata, berita gembira itu turut dikongsi bersama isteri dan dua anaknya berusia satu dan tujuh tahun kerana dapat hidup bersama sebagai sebuah keluarga di ibu negara.

“Sejak empat tahun lalu, saya hanya menyewa bilik pada kadar RM150 sebulan berhampiran tempat kerja manakala isteri dan anak-anak tinggal di kampung di Kelantan kerana kos sara hidup yang terlalu tinggi di bandar.

“Sepanjang tempoh itu, saya hanya balik dua bulan sekali untuk menjenguk mereka di kampung, tetapi selepas rumah itu siap kelak, saya pasti akan membawa mereka tinggal bersama,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mohd Khuzainey, dia membuat permohonan RUMAWIP pangsapuri Residensi Kuchaimas di Batu 5 Jalan Klang Lama pada awal tahun lalu dan tidak menyangka terpilih sebagai pembeli unit rumah berharga RM198,000 itu.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan lokasi amat strategik dengan rangkaian perhubungan jalan raya di sekitarnya termasuk Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

“Pangsapuri 49 tingkat mempunyai 478 unit rumah ini dilengkapi podium tempat letak kereta lapan tingkat serta pelbagai kemudahan lain seperti taska, taman riadah, kios, dewan serbaguna, kedai dobi dan surau,” katanya.

Unit pangsapuri tiga bilik tidur dengan keluasan 800 kaki itu dijangka siap pada 2021.

Kerajaan melancarkan Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) pada 2013 bagi membolehkan warga kota terutama orang muda yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan membeli rumah pada harga berpatutan.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menetapkan sasaran membina lebih sejuta unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dengan dasar RUMAWIP membolehkan golongan isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM6,000 memiliki kediaman sendiri pada harga kurang RM300,000 seunit.

Sejumlah 80,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Wilayah Persekutuan menjelang tahun 2020 di mana 50,000 unit akan dibangunkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 20,000 unit di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan 10,000 unit di Wilayah Persekutuan Labuan.

RUMAWIP terbahagi kepada tiga kategori iaitu harga rendah, sederhana rendah dan sederhana dengan keluasan minimum 650 kaki persegi bagi rumah dua bilik atau kurang, 700 kaki persegi bagi rumah harga rendah tiga bilik dan 800 kaki persegi bagi rumah tiga bilik.