SHAH ALAM : Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menyifatkan pihak yang menentang cadangan tulis jawi dalam buku teks sebagai dangkal.

Ketuanya, Adhif Syan Abdullah sehubungan itu mahu Kementerian Pendidikan jangan tunduk kepada kumpulan berkenaan yang turut disertai pemimpin DAP, sebaliknya meneruskan langkah memasukkan tulisan jawi tersebut.

“Tindakan beberapa pihak yang membangkang usaha kementerian (tulisan jawi dan khat dalam buku teks sekolah) jelas menunjukkan kedangkalan mereka memahami sejarah dan keistimewaan tulisan tersebut.

“Pemuda (Bersatu) Selangor yakin stigma ke atas tulisan jawi berasal daripada salah sangka tulisan jawi adalah sebahagian daripada Islam kerana huruf dan tulisannya berasal daripada huruf al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong berserta pemimpin DAP menentang penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Dalam perkembangan yang sama, Adhif Syan berharap tiada pihak menyamakan kaligrafi Cina atau Tamil sebagai setaraf dengan tulisan jawi kerana jawi terasimilisasi dalam peradaban negara.

“Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 67 secara jelas menyebut jawi merupakan tulisan bagi bahasa Kebangsaan di samping tulisan rumi.

“Tulisan jawi turut dicetak di wang kertas dan syiling negara, jata negara serta jata negeri tertentu dan juga semua Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.

Pemimpin DAP bantah tulisan khat di sekolah