TAPAH: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggang bersama rakannya terbabas di Kilometer 327.1 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Muhamad Safuan Azran Aznan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya, Muhammad Muhaimin Parizal, 22, pula mengalami kecedaraan parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang dalam perjalanan daripada Kedah ke Kuala Lumpur, hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan.

“Penunggang telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.