IPOH: Tabiat pemimpin-pemimpin dari DAP yang sering mengeluarkan kata-kata tidak beradab bakal mewujudkan tsunami Melayu di kalangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Pemuda MCA Perak, Ting Tai Fook, berkata, DAP bukan lagi seperti dahulu malah semakin berani menunjukkan belangnya dengan menghina sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka.

“Mereka suda lupa asal usul perjuangan mereka (DAP), mereka maki hamun pemimpin Melayu tidak kira dari PAS atau Barisan Nasional (BN), mereka gambarkan pemimpin-pemimpin ini syaitan dan sebagainya.

“Tsunami Melayu bakal berlaku kerana Melayu sudah rasa meluat serta benci dengan cara DAP mendapat sokongan, meraih undi…ini adalah cara amat tidak sihat untuk berpolitik,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Tambah beliau, perubahan yang berlaku di dalam parti DAP itu juga jelas kelihatan selepas mereka sanggup mengadai perjuangan mereka selama berbelas tahun demi kuasa politik dan menerima Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Sebagai contoh kita lihat penasihat DAP, Lim Kit Siang, beliau sejak PRU-7 sehinggakan PRU-13 menentang Tun Mahathir, menyifatkannya sebagai ahli politik kotor, korup, diktator dan sebagainya, tetapi hari ini? Adakah mereka sudah tak berani bersuara?

“Saya dapat tahu ada ramai ahli DAP sendiri marah dengan perkara ini, jadi saya minta ahli DAP beranikan diri untuk keluar dari parti, undur..tunjukkan mereka berani dan masih bersama perjuangan asal,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu hasil daripada program turun padang yang dilakukan di Perak mendapati pengundi muda khususnya masyarakat Cina juga telah mulai sedar dengan perubahan DAP baharu itu.

“Maklumbalas kami terima kebanyakkan mereka bukan sahaja pengundi muda malah yang tua memberitahu sudah menyesal kerana sebelum ini mengundi dengan emosi.

“Saya yakin dari segi konteks holistiknya, kerusi-kerusi di bawah BN sebelum ini yang dirampas oleh DAP akan berjaya dimenangi semula,” katanya penuh yakin dengan peluang BN pada PRU14 nanti.