KLUANG: Keadaannya sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas patah kaki dan tangan akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu, tidak menghalang Mohd Azman Mohd Imran Low, menjaga kedua-dua ibu bapanya yang juga OKU.

Mohd Azman, 24, berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah pasar raya bagi menjaga kedua-dua ibu bapanya, Jumayah Sulaiman, 51 dan Mohd Imran Low Abdullah, 75.

Katanya, dia terpaksa mengambil keputusan itu apabila ibunya hilang penglihatan tiga tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihidapinya.

Setahun kemudian, bapanya pula menghadapi masalah sakit sendi dan urat saraf selepas terjatuh di rumah menyebabkan kaki kirinya patah dan tidak boleh berjalan.

Sejak itu, Mohd Azman mengambil alih sepenuhnya menjaga kedua-dua ibu bapa manakala sara hidup mereka ditampung pendapatan abang sulungnya, Mohd Azlan, yang bekerja di sebuah pasar raya.

“Semua ini dilakukan demi kasih sayang kami berdua terhadap ibu dan ayah yang kini tidak boleh berbuat apa-apa dan saya mengambil alih semua tugas di rumah termasuk memasak,” katanya ketika dikunjungi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kluang, di kediaman mereka di Taman Nasib dekat sini.

Kunjungan yang di ketuai oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kluang, Mejar (B) Muhamad Tukiran dan Timbalan Ketua Biro Kebajikan UMNO bahagian itu, Azman Miskam yang menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan Mohd Imran Low bergerak.

Mohd Azman berkata, walaupun dia sendiri tidak kuat untuk berjalan atau mengangkat barangan, ia tidak menghalangnya membantu kedua-dua ibu bapanya.

“Saya bersyukur kerana masih mampu menabur bakti kepada ibu dan ayah kerana tidak semua orang berpeluang untuk melakukan semua ini.

“Selain pendapatan abang kira-kira RM1,000 sebulan, kami juga bertuah kerana menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM500 serta RM150 kepada ibu,” katanya – berita harian