IPOH: Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN) Perak menggesa Exco kerajaan negeri yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia, digantung jawatan serta merta sehingga siasatan selesai.

Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, mereka berpendirian sekalipun masih dalam siasatan, integriti dan moral, khususnya sebagai pemimpin negeri hendaklah dijaga dan dipelihara.

Menurutnya, DPPN Perak memandang serius dakwaan itu kerana ia melibatkan seorang Exco kerajaan negeri.

“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis dan pihak berkuasa telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“DPPN Perak konsisten berpendirian ‘seseorang itu tidak bersalah selagimana tidak dibuktikan ia bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, institusi penguatkuasaan seperti Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Peguam dan mahkamah hendaklah bertindak tegas dalam memastikan tiada campur tangan pihak berkepentingan.

Mohd Hafez berkata, DPPN Perak berharap siasatan yang dijalankan benar-benar adil dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berwajib melakukan tugasan.