REMBAU: Pemuda UMNO membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi laman sosial Twitter.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau kira-kira jam 3 petang, tadi.

Ibdillah berkata, menerusi Twitter itu, Rafizi mendakwa kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pengurus pilihan raya menggunakan polis bagi menghalang calon Rantau dari PKR, Dr S Streram menghantar borang pencalonan.

Katanya, kegagalan mengemukakan borang pencalonan itu menyebabkan SPR menolak kertas pencalonan PKR, sekali gus membolehkan Mohamad menang tanpa bertanding.

“Malah Rafizi turut memfitnah seolah-olah penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersekongkol dalam isu itu.

“Bagaimanapun, jelas menunjukkan Dr Streram sendiri yang tiada atau gagal mendapatkan pas khas pencalonan SPR bagi membolehkannya masuk ke pusat penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di IPD Rembau di sini, hari ini – berita harian