TAPAH: Pergerakan Pemuda UMNO mesti mengikis sindrom 3S (senyap, sunyi, sepi) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, mereka juga mesti mengelak daripada menganjurkan program syok sendiri.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti lebih aggresif dan pro-aktif, tidak hanya menanti arahan daripada pucuk pimpinan parti.

“Pemuda perlu lebih aktif untuk menghadapi PRU14 dengan melaksanakan program di luar kotak.

“Tidak ada lagi istilah ‘business as usual’, perkara baru kena dimunculkan kerana kita kena ‘new deal for new voters,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tapah di Dewan UMNO Tapah di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Safri Mohamad Salih.

pemuda umno 5

Sohaimi berkata, ketika turun ke beberapa bahagian baru-baru, beliau mendapat aduan mengenai pemimpin Pemuda UMNO yang seolah-olah hilang arah perjuangan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka dapat kembali kepada matlamat asas perjuangan parti dan turun padang untuk bertemu dengan pengundi muda.

Bagaimanapun, beliau memuji Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin yang berjaya menunjukkan contoh sebagai pemimpin masa depan yang baik.

Dalam pada iti, Sohaimi berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan kepimpinannya yang telus dan sentiasa mengambil kira pandangan rakyat, berbanding corak kepimpinan Perdana Menteri terdahulu.