IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Perak mengagihkan 150 pek juadah sahur kepada anggota polis, kakitangan hospital yang bertugas dan gelandangan di sekitar bandaraya ini pada awal pagi Khamis.

39c15985-1b1b-475a-9c36-256cdae83652Pengagihan itu diketuai ketua pergerakan itu, Khairul Shahril Mohamed, bermula jam 1 pagi hingga 2.45 pagi, melibatkan beberapa lokasi terpilih seperti Balai Polis Pekan Baru, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan sekitar pekan lama.

Menurut Shahril, program itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada anggota polis dan kakitangan hospital terlibat yang bertugas tanpa mengira waktu selain membantu meringankan beban gelandangan.

“Kita mahu menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus siang dan malam berbakti kepada masyarakat dalam menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai, walaupun ini tidak seberapa.

“Termasuk juga dengan gelandangan, kita tidak mahu mereka fikirkan kita tak peduli atau menolak mereka, malah kita ambil peduli dan ingin membantu mereka, jadi bantuan sahur ini hanya permulaan,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui semasa program tersebut.

edec80b6-f7c4-4e5a-909a-784aa5efc136

Program tahunan Pemuda UMNO Perak itu turut mendapat kerjasama Barisan Nasional Youth Volunteer dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Fix The Need yang melibatkan lebih 50 orang.

Terdahulu, Shahril memberitahu, melalui program Ihya’ Ramadan, Pemuda UMNO Perak telah melakukan beberapa aktiviti di Tanjung Malim, Tapah, Teluk Intan dan Kampar.

“Kita bermula seawal jam 11 pagi tadi sebenarnya di Tanjung Malim kita masak bubur lambuk dan edar di bazar ramadan Slim River kemudiannya kita berbuka puasa di Masjid Jamek Tapah dengan anak-anak yatim, pelajar tahfiz serta kariah masjid.

5383107f-0860-40d6-94ef-b114d9464daa
“Seterusnya kita bergerak ke surau Kampung Tersusun Padang Tembak, Teluk Intan untuk sembahyang terawih dan diikuti dengan sembang santai dengan anak-anak muda di Kampar sebelum ke sini,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, pergerakan Pemuda UMNO Perak juga turut telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang bulan ramadan ini bagi mengambil peluang berbakti serta mendekati rakyat di negeri ini.

“Kita memang sedang rancak melakukan program-program bercirikan pemberian bantuan, gotong royong dan sebagainya untuk kita lebih dekat dengan rakyat, setiap parlimen mempunyai program-program yang telah disusun,” katanya.