IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Perak mahu Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kekal sebagai Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, pergerakan itu memberi sokongan padu kepada Dr Zambry untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri itu selepas PRU-14.

Menurutnya, Pemuda UMNO Perak mengharapkan tiada pertukaran atau perubahan yang berlaku membabitkan pucuk kepemimpinan negeri ini.

“Ini kerana kami melihat Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah melakukan banyak perkara yang baik kepada negeri Perak khususnya dalam konteks pembangunan dan juga penyelesaian masalah bagi pihak kerajaan BN sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak di sini lewat malam tadi.

Khairul Shahril berkata, pergerakan itu membuat keputusan berkenaan berikutan terdapat desas-desus bahawa Dr Zambry akan bertanding di peringkat Parlimen pada PRU-14.

Mengenai gerak kerja Pemuda UMNO Perak, Khairul berkata, seramai 5,635 petugas dilantik bagi menjaga, menyelia dan mengenal pasti seramai 169,044 pengundi muda Melayu di negeri Perak untuk memastikan mereka terus menyokong dan memastikan kemenangan BN pada PRU-14.

“Kami akan memastikan mereka yang dilantik menyelia pengundi supaya berada di dalam ruang lingkup BN dan akhirnya ketika hari mengundi nanti, mereka akan mengundi BN di semua 24 kawasan Parlimen, dan 59 Dewan Undangan Negeri di Perak,” ujarnya.