Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Peribahasa “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” menjadi gambaran paling sesuai kepada jalinan hubungan penduduk Kampung Sungai Rambutan, di sini.

Maksud peribahasa itu terpancar jelas pada Khamis lepas apabila penduduk kampung itu menerima berita kebakaran kediaman rakan sekampung mereka.

Dalam kejadian pada awal pagi itu, rumah Shapie Ibrahim, 61, dan Salehah Yaacob, 62, serta tiga waris mereka, hangus dijilat api menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Sebaik menerima berita sedih itu, warga kampung termasuk 25 ahli Pergerakan Pemuda UMNO berganding bahu menyediakan rumah sementara bagi pasangan warga emas itu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Rambutan, Surazman Ghazali, kerja-kerja membersih kawasan kediaman sementara itu mengambil masa empat hari.

“ Kami mula membersihkan kawasan semak, menebang pokok di sekitar rumah sementara itu; memastikan rumah dicuci agar tiada binatang atau ular yang membahayakan keluarga ini.

“Kerja-kerja dijalankan tanpa henti selama empat hari, sebaik sahaja mendapat berita mengenai tragedi Pak Ngah Shapie,” katanya kepada Suara Perak.

muafakat-kebakaran

Jelas beliau, lima beranak itu berpindah ke rumah sementara tersebut pada tengahari Isnin dan mereka amat bersyukur dengan semua yang membantu.

“Kami bekerja tanpa henti, baik di hujung minggu. Ada yang berulang-alik membeli perkakas dan membersihkan kawasan; biarpun berpuasa tetapi itu bukan halangan,” katanya lagi.

Ketua kampung, Abdullah Hit Wan Daud berkata, beliau tidak pernah meragui muafakat dan kerjasama yang terjalin di kalangan penduduk kampung yang utuh sejak dahulu.

“Kami semua terkesan akibat kebakaran itu, kerana kami semua amat rapat. Habis rentung barangan dalam rumah mereka. Bagaimanalah mereka hendak menjalani Ramadan tanpa tempat berteduh.

“Sebagai wakil kampung ini, saya amat berterima kasih dan berbangga dengan Pemuda dan Wanita UMNO yang memastikan mereka tidak terasa terpinggir, semoga barakah bulan Ramadan menjadi lebih bermakna buat kita semua,” jelasnya.

Kisah Pak Ngah Shapie turut mendapat perhatian ADUN Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff yang tampil menghulurkan bantuan wang tunai berjumlah RM1,500 bagi menggantikan atap zink yang musnah.

Manakala, Salehah yang mempunyai masalah kesihatan, menerima kerusi roda sumbangan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor.

Faizul Arby juga memastikan bekalan elektrik serta kemudahan asas di rumah sementara itu disediakan sepenuhnya oleh kontraktor agar keluarga tersebut dapat hidup selesa.