IPOH – Pemuda UMNO Perak yakin dengan peluang tiga calonnya yang bakal bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau yakin calon-calon muda berkenaan termasuk dirinya mampu menarik undi golongan belia yang disifatkan golongan penting menentukan kemenangan pada pilihan raya kali ini.

Tiga calon Pemuda bertanding adalah Parlimen Bukit Gantang, DUN Bota dan DUN Manjoi.

“Kita yakin bila calon-calon muda diketengahkan, ia akan mampu menarik undi orang muda kerana calon-calon ini (calon muda) faham dengan kehendak dan juga aspirasi mereka.

“Kita mahu menang dan yang akan menentukan kemenangan pada PRU kali ini adalah orang muda atau pengundi muda,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon BN Perak, di sini pada Selasa.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Saidi Mohamad Daud diumumkan bertanding di DUN Changkat Jering yang kini dipegang oleh pihak pembangkang.

Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin pula diumumkan bakal mempertahankan DUN Manjoi yang disandangnya manakala Khairul Shahril akan bertanding di DUN Belanja yang disandang oleh Datuk Mohd Nizar Zakaria. Mohd Nizar akan bertanding di kerusi Parlimen Parit.

“Kami akan pastikan amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan ini akan kami galas seterusnya akan memberi kemenangan kepada BN Perak untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU14 nanti,” katanya khairul Shahril.