TANJUNG PIANDANG – Program Pukiman Menteri Besar di Daerah Kerian selama empat hari bermula 27 Mei lalu mencapai matlamat dan objektifnya untuk menyelami denyut nadi rakyat akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun pemukiman kali ini terpaksa disingkatkan kepada empat hari berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, namun beliau masih berpuas hati dengan keberkesanannya.

“Sebanyak 116 program yang telah diatur menerusi penglibatan saya secara langsung, ahli-ahli exco kerajaan dan juga jabatan-jabatan kerajaan melalui ketua jabatan negeri, kesemuanya berada di lapangan.

“Kita telah dengar permasalahan mereka, kita lihat sendiri masalah mereka, fahami mereka, lihat bagaimana kita boleh membantu mereka,” katanya.

Katanya lagi, pemukiman itu juga telah membenarkan kerajaan negeri melihat, menilai dan menerima permasalahan rakyat di daerah itu secara peribadi.

“Kita pantau dari segi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat, demikian juga beberapa projek diluluskan di sini, kita lihat statusnya. Saya telah tanya kepada jabatan-jabatan berkenaan sekiranya terdapat projek yang dikatakan terlewat.

“Umpamanya projek Parit Haji Wahab berkenaan perumahan rakyat, kenapa berkali-kali lewat contohnya. Ini semua kita pantau semula demi rakyat di daerah ini kerana itu objektif sebenar pemukiman ini,” jelasnya.

Tambah beliau, segala aduan rakyat yang diterima juga akan diambil tindakan.

“Masalah yang tidak boleh diselesaikan segera, akan dibawa untuk dibincangkan pada peringkat negeri dan Persekutuan.

“Permohonan untuk membina keperluan asas akan dibawa ke mesyuarat bagi mencari peruntukan dan kemukakan di peringkat kerajaan Persekutuan,” ujarnya.