PARIT BUNTAR: Suntikan Program Pemukiman YAB Menteri Besar di Daerah Kerian telah memberi peluang bagi wakil rakyat untuk menyelami masalah penduduk secara bersemuka dan lebih dekat.

Antara yang mendapat sambutan ramai adalah Klinik Dr Zambry dan Pusat Aduan Rakyat yang ditempatkan di setiap program, khusus bagi mendapatkan komen dan aduan orang ramai di kawasan setempat yang boleh diajukan kepada kerajaan negeri.

ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, program pemukiman kali ini adalah amat berkesan dan terus kepada hati rakyat, malah Klinik Dr Zambry adalah platform terbaik untuk pemimpin bersua dan berbual di peringkat penduduk kampung dan rakyat luar bandar.

“Bayangkan pada hari ini sahaja, lebih daripada 600 penduduk datang membanjiri hanya satu program di Dewan Orang Ramai Batu Lima ini, di samping terlibat dengan aktiviti sampingan, mereka boleh mengajukan pertanyaan kepada pegawai bertugas di Klinik Dr Zambry dan Pusat Aduan Rakyat Bergerak ini.

“Kita sebagai pemimpin atau rakyat negeri Perak harus mendekati mereka, berkomunikasi secara telus dan ikhlas kerana setiap aduan itulah yang membina penambahbaikan negeri kita, setiap hari.

“Bukannya semua indah, maka itulah tugas pemimpin untuk menolong mereka semampunya,” katanya kepada Suara Perak selepas menyempurnakan Mini Karnival Merakyatkan Teknologi e-Desa di Dewan Orang Ramai Batu Lima, Parit Buntar pada Khamis. 

Beliau berkata, peluang pemukiman daerah Kerian yang membolehkan rakyat bertemu dan mengajukan permasalahan mereka kepada wakil rakyat, pengarah, ketua-ketua dan wakil jabatan haruslah dimanfaatkan sebaiknya.

Dalam pada itu, beliau juga meluangkan masa dan melancarkan Sistem Maklumat e-Desa anjuran bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak dan KPerak bersama masyarakat setempat.

Katanya, e-Desa merupakan satu pendekatan moden dan holistik yang membolehkan pihak terlibat seperti JKKK untuk mengakses profil perkampungan seperti pentadbiran, sosioekonomi dan kepadatan penduduk di alam maya.