BAGAN SERAI – Tidak sampai tiga hari program pemuliharaan ikan kelisa emas dilaksanakan di Tasik Bukit Merah, di sini, sudah ada segelintir pihak cuba mencuri ikan hiasan yang diancam kepupusan itu.

Lebih mengejutkan, sejumlah tiga ekor ikan kelisa emas (Malaysian Gold) yang dipercayai cuba dicuri oleh sekumpulan pemancing luar berjaya dikesan dan dipulang kembali untuk dilepaskan semula di tasik itu.

Ketua Jaringan Perikanan Kampung Tepi Kolam Bukit Merah, Mohamad Fadzil Din,40, berkata, sebelum ini, Jabatan Perikanan dengan kerjasama beberapa pengusaha ternakan ikan kelisa emas melepaskan sejumlah 224 ekor spesis ikan itu bagi memulihara dan memastikan baka ikan hiasan terus membiak di habitat aslinya.

Biarpun pemantauan berterusan dilakukan, beliau mendedahkan tiga ekor ikan kelisa emas sengaja dicuri oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Mujur kesemua ikan tersebut dipasang cip pengesan, jadi pihak kami berjaya mengenal pasti lokasi pihak mengambil ikan itu sebelum mengambilnya semula untuk dilepaskan ke tasik.

“Bagi memastikan kesemua 224 ekor ikan kelisa jenis Malaysian Gold dilepaskan dapat terus hidup dan membiak di habitat asli tanpa sebarang ancaman, kami nekad berkerjasama dengan Jabatan Perikanan Daerah Kerian bagi memantau perkembangan ikan itu setiap hari,” katanya kepada media selepas aktiviti rondaan memantau perkembangan ikan itu di Tasik Bukit Merah, di sini malam semalam.

Mohamad Fadzil berkata, komuniti nelayan darat di Kampung Tepi Kolam Bukit Merah, di sini akan sentiasa memastikan tiada usaha mana-mana pihak untuk mensabotaj inisiatif pemuliharaan ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah yang diiktiraf sebagai antara ikan hiasan termahal dunia ketika ini.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi tujuan memulihkan kembali populasi ikan yang tergolong dalam spesis dilindungi dan terancam ini daripada pupus sepenuhnya.

“Kesemua ikan dilepaskan itu akan mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk membiak dan selama itulah nelayan di sini akan terus memantaunya daripada sebarang aktiviti tidak dibenarkan.

“Impian kami menjadikan Tasik Bukit Merah sebagai hub ternakan kelisa secara asli di samping memperkenalkan lokasi ini kepada umum sebagai sebuah lokasi kunjungan dunia seperti Pulau Orang Hutan Bukit Merah, Jeti Kelip-kelip Kampung Dew dan Kuala Gula Sanctuary Resort.

“Saya yakin hasrat itu tercapai jika penduduk khususnya nelayan dan pemancing dapat berkerjasama dalam menjaga dan memelihara ikan ini,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokhri menegaskan satu dasar khas akan diwujudkan bagi mengenakan arahan larangan memancing dan menangkap ikan itu di Tasik Bukit Merah, di sini pada masa hadapan.

“Buat masa ini, komuniti nelayan akan menjadi ‘mata-mata’ Jabatan Perikanan dalam memantau perkembangan ikan ini dari semasa ke semasa dengan cara menasihati pemancing dan memberi maklumat berkenaan larangan menangkap ikan ini,”katanya – sinar