IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak kecewa kerana isu pemutuan sebenar padi masih berterusan walaupun pelbagai rayuan telah dikemukakan.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, di sebalik rayuan yang telah dibuat oleh pesawah, PPN dan kerajaan negeri, masih berlaku pemotongan pemutuan padi yang terlalu tinggi.

Beliau memberitahu, musim menuai padi baru bermula di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing tetapi apa yang menjadi masalah kepada petani ialah pemutuan padi yang tinggi iaitu antara 26 – 60 peratus setiap satu metrik tan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, hasil padi majoriti petani dipotong antara 30 – 35 peratus, ini sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Nadzri mendesak supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kabinet mengambil langkah segera bagi mengurangkan keluh kesah petani yang terpaksa menanggung kerugian.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang tinggi, isu ini perlu diselesaikan segera, sebelum pesawah hilang sabar,” tegas beliau.

Sementara itu, Pengerusi PPK Gunung Semanggol / Selinsing, Abdul Rahman Hamid turut mendesak supaya tindakan segera diambil.

“Inilah nasib petani, berbagai rayuan telah dibuat, kalau begini keadaannya setiap musim, petani akan jadi papa kedana di bumi sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta supaya kerajaan Persekutuan menangguhkan dahulu pelaksanaan pemutuan sebenar padi di negeri ini.

PPN Perak pula meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membawa isu itu ke mesyuarat Kabinet supaya ia dapat diselesaikan segera.

Dalam masa yang sama, PPN Perak juga mencadangkan supaya, sementara isu itu dapat diselesaikan, kadar pemotongan berkenaan hendaklah diselaraskan antara 18 – 22 peratus sahaja kerana pemotongan sebelumnya hanya 16 – 18 peratus sahaja.