HULU LANGAT: Seorang penagih dadah yang didakwa bersikap agresif setiap kali dalam keadaan khayal, termasuk mengugut mahu mencederakan penghuni lain di kawasan perumahannya di sini, ditahan kelmarin.

Tindakan lelaki berusia 30 tahun itu menyebabkan beberapa pihak tampil membuat aduan, sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat bersama Special Tactical Response and Investigation Key Enforces (STRIKE) menyerbu rumahnya kira-kira jam 8 malam.

Ketika serbuan, suspek didapati bersendirian di dalam rumah itu, manakala ahli keluarganya yang lain dikatakan berada di Johor atas urusan kerja.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat, Muhamad Ramlan Syed Ahamed, berkata pemeriksaan lanjut di dalam bilik lelaki itu menemukan pelbagai senjata, termasuk parang, besi dan peralatan tajam lain.

“Senjata terbabit dipercayai digunakan untuk mengugut sehingga penghuni di kawasan perumahan itu bimbang akan keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan penduduk di situ, suspek didakwa sering berkelakuan agresif apabila dalam keadaan khayal akibat pengambilan dadah.

“Ada yang mendakwa lelaki itu pernah mengugut mereka menggunakan senjata kerana tidak berpuas hati mengenai suatu perkara.

“Malah, dia dikata akan memecahkan barang di dalam rumahnya sendiri jika tidak mendapat suatu yang dikehendaki,” katanya.

Muhamad Ramlan berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif syabu.

Beliau berkata, lelaki itu ialah antara 13 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi di sekitar daerah ini, Bandar Baru Bangi, Semenyih dan Batu 9, bermula jam 5 petang kelmarin hingga 3 pagi semalam.

“Secara keseluruhan dalam serbuan itu, kami melakukan ujian saringan air kencing terhadap 16 individu dan 13 daripada mereka berusia antara 28 hingga 47 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine, syabu serta ganja.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ada maklumat berhubung jenayah dadah, diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut – berita harian