KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sanggup lari meninggalkan motosikalnya bagi mengelak ditahan dalam operasi bersepadu sempena Aidilfitri di Jalan Tanjung Lumpur, di sini malam tadi.

Lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan menunggang motosikal dari bandar Kuantan sebelum ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, sebaik menyedari operasi itu turut disertai pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dia bertindak menolak motosikalnya di tepi jalan sebelum menghilangkan diri.

Difahamkan, lelaki itu sudah beberapa kali ditahan AADK berkaitan kesalahan penagihan dadah dan kini dalam pengawasan.

Jurucakap AADK Kuantan memaklumkan usaha mengesan lelaki itu sedang dilakukan, termasuk mencari pemilik sebenar motosikal itu.

Sementara itu, Ops Motosikal-Ops HRA 2018 itu anjuran JPJ bersama AADK, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan PUSPAKOM di lima lokasi membabitkan kekuatan 153 pegawai dan anggota.

Pengarah JPJ negeri, Mohammad Abdullah, berkata sebanyak 927 kenderaan diperiksa dengan 234 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Katanya, daripada jumlah saman itu, 77 kes tidak memiliki lesen atau lesen tamat tempoh, 60 kes berkait cukai jalan dan insurans, 22 kesalahan teknikal membabitkan nombor pendaftaran dan cermin sisi, manakala 75 lain-lain kes.

“Kita turut menyita dua motosikal, manakala lima individu ditahan kerana dikenal pasti positif dadah,” katanya pada sidang media sejurus tamat operasi.

Mohammad berkata, sejak lima hari lalu penguatkuasaan tertumpu kepada kesalahan memotong di garisan berkembar, langgar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju.

Katanya, pemeriksaan ke atas bas dan kenderaan berat lain turut dilakukan termasuk pemeriksaan teknikal – berita harian