JERTIH: Seorang penagih dadah yang sudah 14 kali ditahan atas pelbagai kesalahan, ternyata tidak serik apabila diberkas sekali lagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Padang Lengkuas di sini, kira-kira jam 2.55 petang.

Terdahulu bertindak atas maklumat, katanya, pengadu bersama anggota Task Force Balai Jertih pergi ke rumah itu pada jam 12.40 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur menemukan satu beg berwarna hitam mengandungi dua peket plastik cerah berisi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai satu kotak rokok di atas lantai bilik tidur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, di dalam kotak rokok itu ditemui satu peket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah, dua tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu tiub straw berisi dua biji pil warna merah disyaki dadah jenis yaba.

“Lelaki itu ditahan dan semua barang kes dirampas untuk tindakan seterusnya.

“Hasil ujian air kencing suspek juga didapati positif. Suspek pernah ditahan 14 kali atas pelbagai kesalahan berdasarkan rekod lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian