Oleh:Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Tindakan seorang penagih dadah yang melibas parang bagi melepaskan diri daripada tahanan polis gagal apabila dia ditahan dalam satu insiden di jalan besar Ayer Tawar, berhampiran OKN Tan pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian sekitar 5 pagi itu, suspek berusia 50 tahun yang bertindak ganas di satu sekatan jalan raya (SJR) di Ayer Tawar, turut mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan jenayah curi dan kes pecah rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian kee berkata kejadian berlaku apabila suspek melalui sebuah SJR dan tidak mematuhi arahan untuk berhenti, sebaliknya memecut motosikalnya.

“Suspek cuba untuk melepaskan diri dengan merempuh anggota bertugas sebelum dikejar oleh tiga orang anggota dengan menaiki dua buah motosikal.

“Ketika polis cuba menghampirinya, suspek bertindak membaling beg plastik yang mengandungi peralatan pecah rumah ke arah polis terkena lengan kiri anggota polis berpangkat koperal.

“Polis terus mengejar suspek ke kawasan Kg Banjar dan suspek bertindak melibas parang berkali-kali, sebelum polis menembak satu das tembakan ke lutut suspek dan suspek terjatuh bersama motosikal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurutnya, berikutan kejadian itu koperal polis itu mengalami kecederaan bengkak di tangan kiri dan suspek telah dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi rawatan lanjut.

Tian Kee berkata, hasil pemeriksaan di tubuh suspek lima paket lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 6.5 gram dan satu paket lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 0.2 gram.

Ujar beliau, polis turut menjumpai sebilah parang serta sebuah pam air dan semakan lanjut mendapati motosikal Honda EX5 yang dibawa mangsa tidak mempunyai rekod chasis dan enjin yang telah diganggu.

“Suspek disahkan positif dadah jenis Methampetamin dan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 188 akta yang sama serta Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata-senjata Berbahaya,” katanya lagi.